Me

My photo
Alor Star, Kedah, Malaysia

Thursday, January 15, 2009

Prasekolah & Tadika

PRASEKOLAH, TADIKA dan pelbagai lagi istilah boleh digunakan sebagai suatu medium atau tempat untuk kanak-kanak belajar secara formal. Secara amnya, kanak-kanak akan mula masuk ke sekolah secara formal apabila mereka berusia 5 atau 6 tahun. Sebelum mereka melangkah masuk ke sesi persekolahan sebenar iaitu apabila mereka berusia 7 tahun, prasekolah merupakan suatu tempat bagi menyediakan mereka kepada sesi persekolah sebenar.


Sebenarnya, kanak-kanak sudah mula belajar sejak mereka lahir lagi. Sejak lahir, mereka belajar untuk menggunakan deria untuk mengesan perbezaan yang terdapat di persekitaran mereka, bergerak dari tidur, meniarap, menyusup, merangkak, duduk, berdiri, berjalan dan berlari, bertutur dan sebagainya. Semua perkara yang boleh dikuasai ini secara tidak langsung telah dipelajari oleh kanak-kanak melalui pemerhatian dan peniruan dengan individu yang berada di sekeliling mereka seperti ibubapa, adik beradik, keluarga terdekat, rakan-rakan dan sebagainya. Begitu juga apabila kanak-kanak ini berada di prasekolah, mereka turut belajar melalui peniruan. Namun begitu, terdapat sedikit perbezaan iaitu keadaan pembelajaran di prasekolah adalah lebih terancang. Hal ini dapat memberi pengalaman yang lebih banyak kepada kanak-kanak dan seterusnya kanak-kanak boleh berkembang secara menyeluruh.


Pelbagai aktiviti terancang yang boleh dijalankan bersama kanak-kanak. Pada hakikatnya, kanak-kanak gemar bermain kerana melalui bermain mereka berasa riang. Oleh yang demikian setiap sesi pengajaran dan pembelajaran yang dirancang oleh guru mestilah menggembirakan. Pada tahap prasekolah isi pengajaran atau ilmu yang disampaikan kepada kanak-kanak adalah secara tidak langsung berbeza dengan peringkat persekolahan Tahun1 dan ke atas. Sebagai contoh, apabila kanak-kanak diberi pilihan belajar mengira dengan menggunakan batang aiskrim dan melompat sambil membilang bata yang dipijak, mereka lebih gemar melompat kerana, secara teorinya kanak-kanak tidak boleh duduk diam. Mereka gemar bergerak menggunakan keseluruhan badan mereka. Pelbagai jenis permainan yang boleh digunakan guru sebagai pendekatan pembelajaran. Antaranya ialah permainan congkak, batu seremban, baling pundit kacang, jengkek-jengkek dan sebagainya. Selain itu, guru juga boleh membawa kanak-kanak keluar dari suasana pembelajaran yang biasa seperti keluar ke taman permainan, taman bunga, kebun sayuran, tempat ternakan ayam, kolam ikan dan sebagainya. Pastinya pengalaman yang mereka lalui ini akan menggembirakan mereka dan seterusnya mereka akan lebih ingat apa yang telah dilalui.


Justeru itu, kepada bakal-bakal guru, anda bolehlah mula berfikir pelbagai jenis permainan yang boleh digunakan sebagai pendekatan pengajaran. Tidak dilupakan pelbagai alatan media seperti computer, telefon, radio, perakam dan sebagainya boleh digunakan sebagai medium pengajaran kerana melalui penggunaan alatan ini membolehkan kanak-kanak merasai bahawa mereka berada di tempat yang sebenar. Contohnya keadaan di tepi pantai ditukarkan dengan tayangan video persisiran pantai disertai audio ombak sedang menghembus pantai. Penggunaan alatan ini menajamkan lagi rangsangan kanak-kanak.


Sekian saja titipan saya buat masa ini. Sama-samalah kita berusaha untuk meningkatkan lagi mutu pengajaran kita. Harap bertemu lagi di lain waktu.



Sekian saja buat kali ini. jumpa lagi ya...


No comments:

Post a Comment