Me

My photo
Alor Star, Kedah, Malaysia

Wednesday, September 29, 2010

Tuesday, September 28, 2010

MEMAHAMI TINGKAHLAKU EMOSI KANAK KANAK


Oleh:
YM Raja Kamariah Raja Khalid
Bahagian Perkhidmatan Psikologi, JPA

Cahaya mata merupakan anugerah ilahi pada pasangan suami isteri dan ia merupakan lambang cinta yang paling bernilai dalam kehidupan berumahtangga. Tanpa tawa ngilai dan tangis gurau anak anak, akan terasa sunyi bagi pasangan suami isteri lebih lebih lagi yang telah lama berumahtangga. Namun, kesediaan untuk menerima cahayamata amat penting terutamanya untuk mengetahui perkembangan yang berlaku dalam diri kanak kanak dari segi fizikal dan mental kanak kanak tersebut.

Dalam perkembangan mental kanak kanak, selain daripada perkembangan kognitif iaitu pemikiran dan fungsi otak, aspek perasaan dan tingkahlaku emosi juga penting. Tingkahlaku emosi dan perasaan kanak kanak boleh diklasifikasikan dalam dua cara yang paling umum iaitu:

1. Faktor luaran iaitu kanak kanak sering menunjukkan reaksi emosi melalui riak muka seperti ketawa, senyum, menangis, bermasam muka, tidak berkata kata dan sebagainya.

2. Faktor dalaman iaitu perasaan emosi yang dilahirkan melalui tingkahlaku emosi yang berubah ubah mengikut tindak balas emosi untuk menarik perhatian penjaga atau rakan rakan sebaya.

Emosi adalah penggerak pada tingkahlaku kanak kanak dan merupakan cara yang termudah untuk kanak kanak melahirkan apa yang mereka fikirkan dan apa yang mereka rasa. Segala situasi yang berlaku dikeliling dan juga perubahan biologi yang mereka lalui akan bertindak untuk mewujudkan tingkahlaku emosi seperti meradang, marah, naik angin, takut, benci dan sebagainya.

Situasi yang melibatkan tingkahlaku emosi kadang kala sukar dinilai lebih lebih lagi bila kanak kanak itu berusia antara satu hingga lima tahun kerana perubahan yang berlaku dalam diri kanak kanak itu tidak seimbang. Setiap perubahan yang berlaku adalah disebabkan perubahan luaran dan juga dalaman yang berkait rapat dengan perubahan biologi yang kurang konsisten. Ini bermakna, seorang kanak kanak itu dalam masa yang sama harus mengimbangi perubahan diri dan juga penyesuaian faktor luarannya. Secara tidak langsung, ia mempengaruhi sikap ibu bapa terhadap reaksi kanak kanak itu. Sekiranya ibu bapa kurang sensitif dengan perubahan emosi dan biologi kanak kanak itu, kanak kanak yang bijak, akan mula memanupulasikan ibu bapa mereka untuk memenuhi kehendak kanak kanak itu.

Sebagai contoh, kanak kanak yang sensitif pada perubahan biologi dan perubahan emosinya, akan sering menangis dan merengek. Keadaan ini akan menimbulkan rasa marah pada ibu bapa. Atas tindak balas itu, ibu bapa akan mengambil jalan pintas dengan menghukum kanak kanak itu agar berhenti menangis. Tindakan ini tidak akan memberi apa apa faedah kerana tindaklaku emosi kanak kanak itu hanyalah bersifat sementara. Kanak kanak itu akan berhenti menangis kerana ‘takutkan’ ‘hukuman’ yang diberi. Malahan tingkahlaku emosi ini akan berulang ulang dan berterusan kerana kanak kanak itu tidak belajar bahawa ‘menangis’ atau tingkahlaku emosi itu bukanlah cara yang betul untuk menyatakan sesuatu. Ini adalah kerana tingkahlaku emosi ini dijadikan sebagai ‘pembantu’ untuk mereka menghadapi situasi yang dihadapinya seperti untuk memenuhi kehendak dan keinginannya sendiri.

Ibu bapa seharusnya menggunakan teknik bertanya untuk mengajar anak anak agar tidak mengambil jalan pintas dengan tindaklaku emosi sekiranya mahukan sesuatu. Seperti, "Adik nak apa? Kenapa adik menangis? Adik nak susu? Adik nak mainan? Adik tak mahu tidur?" Jika mereka mengiakan apa yang telah ditanya itu, kemudian, ibu bapa haruslah menerangkan pada kanak kanak tersebut agar nyatakan apa yang mereka mahu dengan jelas (katalah seperti, " Oooo katalah adik nak susu.....jangan lah menangis...mana ibu tahu adik nak susu..lain kali adik cakaplah.....adik tunjuklah pada ibu...") bukannya tingkahlaku emosi (seperti menangis). Proses ini perlu diulang beberapa kali agar mesej tersampai pada kanak kanak itu. Ini adalah disebabkan oleh pertumbuhan mental yang turut berkembang pada kanak kanak berusia satu hingga lima tahun.

Berbanding dengan cara ‘hukuman’ tadi, ia akan menimbulkan kesan emosi negatif pada kanak kanak itu dan ia membantutkan pembesaran emosi yang positif. Dikhuatiri sekiranya kanak kanak itu akan terus menggunakan teknik menangis (atau tingkahlaku emosi) ia akan melahirkan suasana tidak tenteram, benci membenci antara satu sama lain.

Perangai tunjuk emosi ini boleh ditangani sekiranya ibu bapa tahu mengendalikan emosi anak anak mereka. Ibu bapa harus peka dengan kehendak dan kemahuan anak anak serta pola tingkahlaku emosi mereka supaya setiap kali berlakunya tunjuk emosi, ibu bapa tahu cara untuk menanganinya.

Contoh yang sering berlaku ialah apabila berada di pusat membeli belah. Ada kanak kanak menggunakan tingkahlaku emosi dengan menangis dan berguling guling di pasaraya untuk menarik minat ibu bapa agar memenuhi kehendaknya. Keadaan ini akan berterusan walaupun kanak kanak itu telah dihukum (selalunya ibu bapa akan memukul atau memaksa anak mereka agar berhenti menangis tetapi, kanak kanak itu akan mendapat apa yang dihajatinya kerana sekiranya mereka terus menangis walau pun di hukum, kanak kanak itu akan dapat juga apa yang dihajatinya) Secara tidak langsung,ibu bapa kanak kanak tadi telah dimanipulasikan oleh anak mereka sendiri.

Sekiranya tingkahlaku emosi seumpama ini terjadi, ibu bapa harus berhati hati agar tidak menjadi ‘mangsa’ pada anak anak sendiri. Ibu bapa harus menggunakan teknik perjanjian dengan anak anak dengan syarat setiap apa yang dijanjikan itu ditepati. Berjanjilah dengan anak anak sekiranya mahu mengikut ibu bapa ke pasaraya, haruslah berkelakuan baik jika tidak, mereka tidak akan dibawa bersama nanti sehinggalah mereka berjanji akan berkelakuan baik.

Ibu bapa harus bijak dalam menguruskan emosi anak anak. Cuba elakkan dari menggunakan teknik menghukum, sebaliknya digantikan dengan teknik bertanya dan perjanjian agar dalam masa yang sama, mereka akan belajar untuk menguruskan emosi mereka sendiri. Kaedah ini amat penting bagi kanak kanak yang membesar kerana pada peringkat awal inilah akan membentuk peribadi kanak kanak bila mereka dewasa nanti.

Kanak-kanak seharusnya diajar/dilatih menurut kata-kata ibu bapa bukannya dimarahi, dihukum atau dileterkan .

Secara amnya, ibu bapa harus mendidik anak-anak dengan disiplin dan hukuman. Kedua-dua ini memberi kesan yang kurang sihat pada pembesaran anak-anak. Hukuman ialah sesuatu yang ‘menyakitkan’. Hukuman ialah membalas seseorang yang telah melakukan sesuatu kesalahan. Disiplin pula merupakan tindakan yang dilakukan dengan satu matlamat tertentu. Dalam hal ini, ibu bapa harus mendisiplinkan anak-anak dengan diplomasi dengan tujuan untuk membantu anak-anaknya memperbaiki dirinya.

Harus kita pertimbangkan bahawa kanak-kanak sebenarnya tidak boleh dipaksa. Sistem ‘pembelajaran’ akan berlaku secara automatik. Cuba bentuk emosi anak-anak dengan disiplin dan diplomasi serta kasih sayang. Mereka akan kenal siapa mereka, realiti yang harus mereka hadapi dan ini dapat memperkembangkan keseimbangan tingkahlaku emosi kanak-kanak.

Sumber: Muslim Diary

LEARN TO READ PART 2